Selasa, 21 April 2009

Tiada Pilihanraya Kecil di Penanti?

Walaupun baru tidak sampai 20 hari Dato' Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, namun sudah banyak petanda awal yang menunjukkan era pemerintahannya belum dapat menggamit keyakinan rakyat. Retorik perubahan yang diuar-uarkannya nampak dangkal dan bersifat kosmetik, hanya sekadar mahu mengelabui pandangan orang ramai. Iklan
Mungkin Najib menjangkakan rakyat mudah tersilau dengan beberapa pengumuman yang dilafazkan di hari pertama menadi PM, seperti membebaskan 13 tahanan ISA, menarik balik penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan, selain cebisan tindakan populis mendekati golongan bawahan, seperti ditunjukkan dalam lawatan mengejut ke Jalan Petaling ("China Town"), Kampung Kerinchi (majoriti Melayu) dan Jalan Tun Sambanthan, Brickfields ("Little India").
Sampai bila dapat bertahan tanpa permaidani merah?
Akhbar harian, seperti biasa, memuja-muji kunjungan Najib yang dibuat tanpa protokol itu: "Tanpa permaidani merah dan tanpa bunga manggar, Perdana Menteri, Najib Razak membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara bagi bertemu dan mengetahui masalah rakyat biasa. Beliau yang memakai baju khaki lengan pendek hijau cair dan seluar khaki coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di kawasan perniagaan di Jalan Petaling, kawasan perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields."
Ternyata pancingan Najib tidak mengena walaupun "umpan dimakan ikan" apabila calon BN tewas dengan lebih teruk lagi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, lima hari selepas beliau menggantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi - yang hanya sempat menerajui kerajaan selama lima tahun lima bulan - berbanding keputusan pilihan raya umum, Mac 2008. Rakyat sukar "disihirkan" lagi, tidak sepertimana pilihan raya umum ke-11 apabila mandat terbesar dalam sejarah diberikan kepada Abdullah yang baru enam bulan menerajui negara, juga dengan pelbagai janji dan jaminan retorik.
Meneruskan tradisi perdana menteri terdahulu, Najib turut mengemukakan slogan untuk memukau rakyat, "Satu Malaysia", pastinya sebagai percubaan untuk menarik kembali sokongan kepada Umno-BN, yang sejak Mac 2008 mengalami kemerosotan yang cukup ketara. Namun, bagi seorang profesor sains politik, segala "pembaharuan" yang cuba ditonjolkan Najib "serba tidak menjadi".
"Bagi saya konsep One Malaysia lebih teruk retoriknya, hatta berbanding dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Abdullah Badawi. Ya, cuba saudara sebutkan dengan saya, apa yang Najib hendak tekankan dalam konsep barunya itu?
"Apa yang barunya dalam nilai-nilai One Malaysia itu, seperti ketabahan, rendah diri, kesetiaan dan sebagainya? Hal-hal seperti itu, bagi saya, tidak perlu diceritakan lagi. Najib nampaknya terperangkap dalam satu benda yang dia sendiri tak boleh buat demi kepentingan rakyat. Ini semua kerana beliau mendapat salah nasihat," tegas pensyarah muda yang petah berkata-kata itu.
"Rakyat Malaysia mahu tindakan segera menyelesaikan pelbagai masalah harian yang menyesakkan hidup. Mereka sudah jelak dengan macam-macam slogan yang akhirnya tidak membawa makna apa-apa kepada kehidupan mereka," tambahnya lagi.
Retorik kosong
Beliau turut mengkritik Najib yang pada awalnya, seperti ditunjukkan di Petaling Street, tidak mahu disambut dengan perarakan bunga manggar atau permaidani merah, tetapi dalam kunjungannya selepas itu tetap diraikan sebagai pembesar.
"Semuanya retorik kosong sahaja, daripada seorang perdana menteri baru," ujar profesor sains politik itu lagi.
Kenyataan Najib yang hanya mendedahkan rasa takutnya kepada suara rakyat terbongkar apabila beliau tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan, ekoran perletakan jawatan Adun Penanti, Pulau Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Baginya, pilihan raya kecil tanpa didahului oleh kematian wakil rakyat hanya membuang masa, tenaga dan wang rakyat.
Ya, sejak bila pula Umno-BN prihatin dengan dana awam yang dibazirkan melalui pilihan raya kecil? Wow, sejuk hati mendengar pemimpin utamanya mula berbicara soal perbelanjaan berhemat sehingga sanggup tidak mahu turut serta dalam pilihan raya kecil demi menyelamatkan wang pembayar cukai. Bermimpikah kita? Saya teringin juga mendengar pandangan, sahabat lama saya, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo mengenai isu pembaziran duit rakyat ini.
Dari segi lain, konsep Satu Malaysia menekankan "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan". Soalnya, mengapa Najib terlalu takut untuk berdepan dengan suara rakyat apabila keadaan memaksanya bertindak begitu? Kenapa perlu direka alasan yang tidak masuk akal, yang hanya menyebabkan orang ketawa atau geli hati mendengarnya?
Harus rujuk mandat baru rakyat
Bukankah menganjurkan pilihan raya kecil itu juga satu amalan lazim demokrasi, yang apabila sampai waktunya pemimpin dan parti politik harus turun mendapat mandat semula daripada rakyat?
"Apakah Najib takut berdepan soalan rakyat yang mahu bukti apakah benar rakyat yang didahulukan?" soal profesor yang ternyata menyimpan banyak persoalan yang belum terjawab. "Jika Abdullah Badawi salah besar kerana menaikkan harga petrol dahulu, mengapa Najib tidak boleh turunkan sehingga RM1.30 seliter? Mengapa perlu berbulan-bulan untuk mengkaji kadar tol dan pemansuhan ISA? Bukankah itu semua perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai dua minggu?"
Namun, yang lebih menjolok mata, masakan Najib sudah lupa, pada 29 Mei 1997, dua pilihan raya kecil terpaksa diadakan serentak bagi meletakkan Dato' Seri Abu Hassan Omar, ketika itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Dengan itu Abu Hassan mengosongkan kerusi Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di kerusi Dun Permatang, yang juga dikosongkan Jamaluddin Adnan. Mengapa tidak timbul soal membuang masa dan tenaga, apatah lagi membazirkan dana awam?
Malah, jika diteliti laporan muka depan The Star, 18 April lalu, perbelanjaan SPR mengendalikan lima pilihan raya kecil, di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, jauh lebih rendah berbanding dengan peruntukan pasukan polis (PDRM).
Pembaziran wang rakyat untuk polis
Menurut laporan akhbar berkenaa, semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, SPR membelanjakan RM409,000, manakala pihak polis, RM2.5 juta; di Kuala Terengganu, SPR (RM580,000), polis (RM11.5 juta); di Bukit Gantang, SPR (RM600,000), polis (RM7 juta); di Bukit Selambau, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta); dan Batang Ai, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta). Jumlah kesekuruhan, SPR membelanjakan RM2.4 juta, sementara pihak polis, RM31 juta.
Bagaimanapun, sidang Parlimen pada 18 Februari lalu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung bahawa polis telah membelanjakan sebanyak RM15.53 juta di Kuala Terengganu, iaitu RM4 juta lebih tinggi daripada anggaran kos dalam jadual di atas.
Ramai pemimpin Pakatan Rakyat mengkritik kehadiran begitu ramai anggota polis, sehingga ada yang menganggarkan jumlahnya melebih 10,000 orang, seolah-olah Kuala Terengganu menjadi zon perang. Di mana saja anda akan bertemu polis dan khemah putih tempat penginapan mereka jelas menarik perhatian masyarakat setempat.
Belanja polis jauh lebih besar
Di Parlimen juga, Chor memaklumkan bahawa perbelanjaan pasukan polis untuk mengawasi pilihan raya kecil Permatang Pauh hanya kurang sedikit daripada Kuala Terengganu. Ini bermakna kos di Permatang Pauh juga sekitar RM15 juta, jauh lebih besar daripada anggaran seperti ditunjukkan dalam jadual.
(Kalau benar kita memerlukan pengawasan daripada pihak polis seramai itu, mungkin kos sebesar itu boleh diterima. Tetapi, semua orang tahu, rakyat kita bukan perusuh atau penjenayah, yang meletakkan undang-undang dalam tangan mereka. Kita tidak memerlukan kawalan ketat sebegitu rupa. Banyak pihak melihat kehadiran pasukan keselamatan itu adalah satu strategi BN (tidak pasti sama ada pendekatan itu akhirnya memakan diri BN sendiri) untuk mencapai kemenangan).
Perbelanjaan itu belum termasuk yang dihanguskan jentera kempen BN, yang bukan sahaja menggunakan peruntukan parti, malah membazirkan bukan sahaja wang rakyat tetapi juga kemudahan dan jentera kerajaan.
Bayangkan berapa ramai menteri yang turun berkempen menggunakan dana awam? Ada kementerian yang mengadakan hari bertemu pelanggan di kawasan pilihan raya, yang langsung tidak ada kena mengena, selain untuk turut berkempen memenangkan BN. RTM yang membuat liputan langsung, misalnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Bukit Gantang, tentunya menghabiskan wang yang bukannya sedikit.
Saya pernah mendedahkan ratusan ribu ringgit wang universiti digunakan untuk perbelanjaan pemantau pilihan raya oleh urusetia Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi mengesan mahasiswa yang berkempen untuk pembangkang, antaranya di Machap, Melaka dan Ijok, Selangor.
Had perbelanjaan kempen tidak pernah dipatuhi
Walaupun undang-undang pilihan raya membataskan perbelanjaan kempen setakat RM200,000 untuk pilihan raya kawasan Parlimen dan RM100,000 untuk Adun, tetapi dipercayai jentera BN membelanjakan jauh lebih besar daripada itu. Lim Kit Siang menganggarkan untuk kempen di Batang Ai sahaja - kawasan yang dijangka BN menang mudah - parti itu membelanjakan kira-kira RM70 juta.
Saya tidak mahu anda terperanjat atau "terkejut beruk" jika kita menjumlahkan semua perbelanjaan BN untuk lima pilihan raya kecil itu. Wang rasuah politik itu sebenarnya datang daripada dana awam juga, yang diperolehi melalui salahguna kuasa dan amalan tumbuk rusuk.
Ringkas cerita, kalaupun Najib takut berdepan kempen di Penanti, iaitu salah satu Dun di bawah Permatang Pauh, kita cadangkan carilah daleh lain, alasam yang boleh diterima akal sedikit.
"Mungkin Najib takut dikejar hantu Altantuya kot? Yalah, Penanti adalah kubu Anwar, takkan Najib nak mengulangi sumpahnya lagi sepertimana yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu," soal pensyarah sains politik tadi.
Mendengar saya ketawa di hujung talian, beliau menegaskan, "Lutfi, isu Altantuya bukan soal remeh, Najib betul-betul risau ...."_

Jumaat, 17 April 2009

Zambry dan Statusnya

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak
Mohamed Hanipa Maidin
Fri | Apr 17, 09 | 10:14:14 pm MYT

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.


Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat

Selasa, 7 April 2009

Keputusan 3 Pilihanraya Kecil 7 April 2009

DUN Batang Ai (Sarawak)
BN - 3907
PKR - 2053
majoriti - 1854
Barisan Nasional retained the Batang Ai state seat after its candidate, Malcolm Mussen Lamoh, won the by-election with a 1,854-vote majority. Newcomer Mussen, a former engineer with the Sarawak Agriculture Department, garnered 3,907 votes to defeat veteran politician Jawah Gerang, the former five-term Lubok Antu Member of Parliament, who obtained 2,053 votes, in a straight fight.

DUN Bukit Selambau (Kedah)
PKR - 12632
BN - 10229
majoriti - 2403
Keputusan rasmi: KeADILan 12,632 undi, BN 10,229. Majoriti 2,403 undi. Sejumlah 415 undi rosak. Peratus keluar mengundi 70%. Kesemua calon Bebas hilang wang pertaruhan.


Parlimen Bukit Gantang (Perak)
PAS - 21860
BN - 19071
Bebas - 62
Majoriti - 2789
Keputusan rasmi, calon PAS, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meraih 21,860 undi, manakala calon BN, Ismail Saffian mendapat 19,071 undi, dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris hanya 62 undi. Dengan itu Nizar diisytihar menang dengan majoriti 2,789 undi.

Begitulah kesudahannya. PR 2 - 1 BN. Dengan kata lain, Pakatan Rakyat menang lagi. Aggregate 4-1 (haha ni mood bola, nanti nak tengok Man Utd v Porto). Aku sempat usha TV1 sejak 830 sampai kol 10....Agak keterlaluan pendekatan yang diambil oleh media rasmi negara itu...Tapi lantaklah, kerana media internet yang pro-PR memulangkan paku buah keras apabila terus menerus mengutuk, dan mencabar kewibawaan Najib yang memang rapuh.

Kalau Paklah kena kutuk kerana lemah dalam semua pilihanraya selepas 2004, Najib nampaknya baru 3 hari telah kalah 2, walaupun dia ada 1 modal untuk dikecohkan. Begitulah komen dari aku pasal pilihanraya kecil kali ni.

P/s - petugas BN janganlah buat perangai dajal mencabul orang...cuba bayangkan anak kau yang orang buat macam tu...

Isnin, 6 April 2009

BN Mencabul!!!

Petang tadi (6 April), kita dikejutkan dengan kelakukan sumbang “pekerja-pekerja” BN. Kelakuan mereka itu sangat memalukan, bahkan menjatuhkan air muka Ismail Saffian yang dikatakan kerap ke Danok. Di dalam blog Ajijoi, telah menjelaskan segala-galanya dan laporan tersebut telah pun dibuat. Berita tersebut seperti ini….

“SIMPANG (06.03.09): Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Simpang sebentar tadi kerana perbuatan yang amat memalukan terhadap seorang Srikandi PKR. Kejadian berlaku semasa sekumpulan Srikandi PKR sedang mengedarkan risalah di Simpang. Lalu seorang daripada mereka telah ditarik masuk kedalam Bilik Gerakan BN di Simpang dan seluarnya ingin dilondehkan oleh petugas-petugas disitu. Rakan-rakan Srikandi tersebut telah cuba menyelamatkannya dan menghubungi ayah kepada gadis tersebut yang menetap berhampiran situ. Sedikit pergaduhan telah berlaku dalam usaha ayah sigadis untuk menyelamatkan anaknya. Setelah berjaya diselamatkan, laporan polis pun dibuat di Balai Polis Simpang……”

Kes seperti ini sepatutnya dibawa ke Mahkamah atas tuduhan cubaan mencabul. Tetapi, hakikatnya, inilah perilaku binatang penyokong BN terhadap seorang wanita suci. Di dalam artikel ini, saya suka untuk menceritakan bahawa kes londeh ini pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW. Ketika itu, si lelaki ini ialah seorang Yahudi dan peristiwa ini menyebabkan berlakunya Perang Bani Qainuqa’.

Di dalam kitab ar Rahiq al Makhtum, Syeikh Safiyurrahman al Mubarakfuri menceritakan tentang peristiwa ini…

“Ibnu Hisham meriwayatkan daripada Abu ‘Awn bahawa ada seorang perempuan Arab yang datang membawa hasil tenusu untuk dipasarkan di Pasar Bani Qainuqa’ (kaum Yahudi), lalu dia duduk berdekatan seorang tukang emas.

Kemudian orang-orang Yahudi mula bertindak mahukan supaya dia membuka tutupan mukanya, tetapi dia enggan berbuat demikian. Si tukang emas ini dengan diam-diam memegang hujung kain perempuan itu lalu disimpulkannya hingga ke bahagian belakang badan, sedang wanita itu tidak menyedarinya.

Apabila wanita itu bangun, maka terdedahlah auratnya maka mereka pun tertawa. Lantas wanita itu menjerit. Tiba-tiba seorang lelaki Muslim segera menyerbu tukang emas itu dan membunuhnya - tukang emas itu ialah seorang Yahudi. Melihatkan keadaan itu, orang-orang Yahudi mula bertindak balas kepada si Muslim lalu mereka membunuhnya.

Keluarga lelaki Muslim itu mula menjerit memanggil-manggil orang-orang Islam untuk menghadapi orang-orang Yahudi. Maka berlakulah pergaduhan antara mereka dengan Bani Qainuqa’….”

Inilah hakikat yang pernah terjadi di zaman Nabi SAW, tentang kelakuan seorang Yahudi mencabul maruah seorang wanita Islam. Tetapi hari ini, penyokong BN yang mengatakan mereka itu Islam, melakukan pencabulan kepada seorang wanita Islam! Inikah yang dikatakan sebagai perjuangan?

Salam Perjuangan
Dr Fikrah (http://drfikrah.blogspot.com)