Isnin, 4 Mac 2013

Perang Lahad Datu - Kronologi dari BERNAMA

Sekarang, blog ini tidak sahaja memberikan perspektif politik, tetapi juga info info berbentuk kebangsaan, kenegaraan dan tidak dapat lari isu terkini pendudukan Tentera Sulu di Lahad Datu.

Penulis akan cuba mengelakkan info-info meragukan dalam post-post di sini, dan seboleh mungkin berkongsi hanya info berbentuk fakta sahih, atau pun paling ekstrem fakta yang dinilai betul dari pemerhatian penulis sendiri (pendapat peribadi)

Kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu
Mac 2 2013

Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina:

Pada 9 Februari - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Pada 11 Februari - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.

Pada 12 Februari - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

Pada 14 Februari - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.

14 Februari - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.

Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal. Ismail berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.

14 Februari - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.

Pada 16 Februari - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

Pada 18 Februari - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.

Pada 24 Februari - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

Pada 26 Februari - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.

Pada 28 Februari - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.

1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera.

Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.- Bernama

Khamis, 19 November 2009

Tanggal 19November tahun aku dilahirkan

MEMALI, KEDAH

24 tahun berlalu mungkin rakyat Malaysia khasnya orang Islam lupa dan terlupa atau tak mengambil kisah pembunuhan beramai-ramai berlaku di Kampong Memali Baling Kedah. Bila dan angkara siapa yang membunuh dengan kejam orang Melayu dan Islam......mungkin lupa....
Tanggal 19 November 1985, Kg. Memali, Baling Kedah 14 orang dibunuh dengan kejam anggota keselamatan Kerajaan Barisan Nasional / UMNO yang dikepalai babak perdana menteri Tun Mahathir .
Secara kebetulannya 14 yang dibunuh dengan kejam adalah penyokong parti PAS. Saudara bayangkan UMNO dan kerajaan barisan nasional bertindak cukup "BRUTAL" macam orang disamput hantu syaitan.
Belum lagi diambil kira trauma penduduk Melayu Memali yang melihat dan ditangkap oleh pehak anggota keselamatan yang dianggap penjenayah.
Selepas 24 tahun berlalu, umno dan barisan nasional membunuh orang Melayu yang menyokong PAS, Negeri Kedah dan rakyatnya menolak umno dan barisan nasional .Kedah diperintah oleh kerajaan Pakatan rakyat yang pimpin oleh ustaz Azizan Razak dari parti PAS.
Inilah dosa Tun Mahathir dan UMNO yang sukar kami maafkan. 22 tahun Mahathir memerintah Malaysia melahirkan 14 para syuhada yang diketuai oleh Syahid Ustaz Ibrahim Libya. Dan sepakat jumhur ulam dan cerdik pandai Islam kematian 14 orang penyokong PAS di Memali dalah digelar para syuhada yang tulen.

baca lebih info tentang peristiwa ini...
http://kacapermata.blogspot.com/2009/06/rentetan-peristiwa-memali-satu-bukti.html
http://jihadsabiluna.wordpress.com/2008/04/17/mengenang-peristiwa-memali-1985/
http://loveperak.blogspot.com/2009/08/kisah-sebenar-peristiwa-memali-siri-1.html
http://chegubard.blogspot.com/2009/11/hari-ini-utahun-peristiwa-memali.html
http://www.zoompanas2.com/2009/08/sejarah-terpinggir-tragedi-memali-19.html

dan banyak lagi link jika anda search Memali di mane2 search enjin yg ada....something to ponder...

Khamis, 30 Julai 2009

Rintihan Anak Tahanan ISA

Nama saya Suhaib. Saya berusia 16 tahun. Ketika bapa saya, Mat Sah Satray ditahan di bawah ISA pada 18 April tahun 2002, saya berusia 8 tahun 5 bulan. Saya masih terlalu kecil dan tidak dapat mengingati semua peristiwa. Ketika itu saya sedang tidur, tetapi terjaga apabila beberapa orang polis masuk ke bilik tidur saya dan dengan kasar menyelak cadar, mengangkat hujung tilam, menarik rak baju, membuka serta menutup almari pakaian hingga mengeluarkan bunyi kuat yang membuatkan saya terjaga.

Umi, panggilan saya pada emak, mendukung saya dan diletakkan di sebelah abah yang ketika itu duduk di sofa di ruang tamu. Aku menoleh ke arah Abah dan nampak kedua-dua tangannya bergari. Aku menangis kerana terlalu takut melihat gari itu. Gambaran gari yang melengkar di kedua-dua belah tangan Abah amat sukar untuk hilang dari minda saya......

Agak lama juga polis menggeledah rumah kami. Seorang wanita sibuk menyoal Abah dan Umi bergilir-gilir dan kemudian menulis sesuatu di atas kertas. Manakala lima orang lelaki yang lain, sibuk membuka rak buku Abah, mengeluarkan Quran dan buku-buku agama serta menyelak-nyelak setiap muka surat dengan pantas. Saya tidak tahu, apa yang mereka cari. Tidak lama selepas itu, mereka membawa Abah masuk ke dalam van putih. Umi dukung saya dan kami berdua sempat melambai tangan kepada Abah. Sebaik sahaja van putih hilang dari pandangan, aku menangis lagi sambil memanggil-manggil Abah. Saya baring di riba Umi hingga tertidur...

Saya bagaikan melalui satu mimpi buruk di mana Abah dilarikan dari rumah oleh sekumpulan lelaki. Bila terjaga dari tidur, saya mencari Abah di semua bilik termasuk bilik air tetapi tidak ditemui. Saya mendapatkan Umi yang sedang membancuh minuman untuk bertanya tentang Abah, tetapi saya nampak Umi juga sedang menangis....

Saya asyik teringatkan Abah. Dari pagi saya tunggu Abah, tengah hari, hinggalah cuaca gelap dan masuk waktu maghrib, Abah masih juga belum pulang. Saya mula menangis kerana rindukan Abah... Ketika itu telefon rumah berdering, saya dan Umi berlari ke arah telefon tetapi apabila gagang diangkat, tiada siapa yang bercakap di hujung talian....

7 tahun telah berlalu

Peristiwa buruk itu telah berlalu tujuh tahun yang lalu, namun ianya sukar untuk hilang semuanya dari fikiran saya. Tujuh tahun lalu Abah saya dibawa pergi, hingga kini beliau tidak pernah balik ke rumah kami.

Pada tahun 2009 ini, maknanya hampir separuh usia saya membesar tanpa belaian kasih sayang, bimbingan dan sentuhan Abah walaupun beliau masih hidup. Saya membesar bertemankan barang-barang peribadinya seperti jam tangan, dompet, baju, seluar, kain pelikat dan buku-buku beliau. Saya sekadar mengikuti nasihat dan kata-kata beliau melalui surat-surat kirimannya. Jika rasa terlalu rindu padanya, saya akan pakai baju, seluar dan kain pelikat beliau. Saya letak gambar Abah di dompet duit bersebelahan dengan gambar saya.

Umi akan memastikan kami melawat Abah sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Namun waktu lawatan selama 45 minit itu jauh dari mencukupi untuk Abah menghilangkan rindu, memberikan bimbingan, tunjuk ajar serta melepaskan kasih sayangnya kepada saya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika lawatan pertama ke Kem pada 24 Jun 2002. Setelah hampir tiga minggu tidak melihat Abah sejak pertemuan terakhir di Bukit Aman, saya rasa terlalu rindu kepadanya. Kami berbual selama 45 minit dan di akhir pertemuan, Abah dibenarkan keluar dari bilik kurungan untuk bersalaman dengan saya dan Umi. Abah mengangkat, mendukung dan mencium saya berkali-kali. Saya terlalu rindukan Abah dan apabila warden bertugas menyuruh Abah masuk kembali ke bilik kurungan, saya menangis dan tidak mahu melepaskan pegangan pada lengan Abah...

Bagaikan binatang di zoo

Sejak hari pertama penahanan Abah hinggalah di saat ini, saya tidak pernah berpeluang mengerjakan solat dan membaca quran bersama beliau. Saya tidak mengharapkan duit belanja atau keluar membeli belah kerana memahami semua itu tidak mungkin dapat dilakukan bersama. Namun, satu perkara yang lebih memedihkan bermula pada bulan April 2005, kami keluarga tahanan hanya dibenarkan bertemu menggunakan interkom di sebalik dinding kaca lutsinar. Bila sahaja melihat Abah di sebalik cermin kaca, hati saya terasa hancur... Ketika itu, saya teringat binatang di zoo yang diletakkan di dalam kotak kaca. Apakah dosa dan kesalahan Abah diperlakukan sedemikian rupa. Sejak tarikh itu, setiap kali melawat Abah, saya hanya berpeluang bercakap melalui interkom dan duduk di sebalik kaca. Saya hanya dapat melihat wajah Abah, tetapi tidak dapat menyentuhnya...hati ini memang pedih yang teramat sangat.

Tujuh tahun saya dipisahkan dari Abah, namun tiada sebarang tanda beliau akan dibebaskan. Walaupun pada tahun 2009 ini ada dua pembebasan beramai-ramai yang mendapat tempat di dada media, namun nama Abah saya tiada dalam kedua-dua senarai pembebasan tersebut....

Perpisahan dengan Abah benar-benar membuat saya rasa rendah diri dan terpinggir. Saya terlalu ingin menjalani kehidupan harian bersama Abah. Saya ingin makan, berbual, bergurau senda dan melakukan pelbagai aktiviti harian bersamanya. Saya juga punya keinginan mempunyai keluarga yang lengkap, sama seperti orang lain.

Hingga kini saya tidak faham kenapa Abah saya, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum, masih juga belum dibebaskan. Saya tidak tahu apakah sebenarnya kesalahan beliau kerana tahanan ISA lain yang ditahan bersama Abah tujuh tahun dulu, hampir semuanya telah pun dibebaskan... namun Abah masih tetap dikurung di Kem. Saya setuju dengan pendapat Umi bahawa Abah sepatutnya dibicarakan di mahkamah. Kalau benar ada bukti menyatakan dia salah, sekurang-kurangnya hakim akan menetapkan, bilakah tarikh akhir dia menjalani kehidupan sebagai banduan. Saya amat sedih mengenangkan kehidupan Abah dalam ketidakpastian selama tujuh tahun dan terus berlarutan.

Saya akan terus berdoa pada Allah supaya Abah segera dibebaskan...

*Testimoni ini ditulis oleh Suhaib Mat Sah, anak kepada tahanan ISA Mat Sah Satray. Mat Sah Satray ditahan sejak tahun 2002, dituduh terlibat dalam aktiviti Jemaah Islamiah, namun tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Dipetik daripada blog merdekareview - azm _

Selasa, 28 Julai 2009

ISA - realiti kisah benar

MENGHARUNGI kehidupan di bawah kongkongan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang begitu lama, bukanlah sesuatu yang diimpikan sebelum ini. Namun, inilah yang dikatakan ISA.

Siapa pun boleh menjadi mangsanya dengan hanya disyaki mengancam keselamatan negara. Jantung anda akan terhenti seketika apabila secara tiba-tiba rumah anda diserbu dan digeledah oleh orang-orang yang bersenjata.

Lebih tragis lagi apabila anda dibawa keluar dengan tangan bergari secara kasar di hadapan anak isteri. Tentu anda dapat bayangkan betapa hancurnya hati ahli keluarga mangsa ISA itu. Ataupun pada suatu ketika, sewaktu anda dalam perjalanan ke tempat kerja atau mahu pulang ke rumah, tiba-tiba kenderaan anda dipintas. Kunci kenderaan anda dirampas dan secara kasar anda diseret ke sebuah kereta lain.

Tangan digari dan anda dimaklumkan yang anda ditahan atas mengancam keselamatan negara. Bagaikan gasing fikiran anda berputar mencari apakah kesalahan yang telah anda lakukan sehingga mengancam keselamatan negara itu. Tekanan fikiran ini akan bermain sejak anda ditahan hingga ke lokasi rahsia di mana anda ditempatkan.

Lokasi rahsia

Seterusnya hinggalah ke sesi soal siasat selama dua bulan di lokasi rahsia tersebut. Dalam sesetengah kes tekanan perasaan ini berterusan hingga beberapa tahun anda ditahan di Kem Tahanan Kemunting (Kemta). Inilah peristiwa hitam yang pernah dan sedang dilalui oleh ratusan tahanan ISA.

Inilah keperitan saya alami sejak ditahan pada 2001 yang deritanya membekas hingga hari ini. Sama ada yang dituduh sebagai kumpulan Al-Maunah, Reformasi, Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Daulah Islamiah (DI).

Hingga kini masih terdapat tahanan yang ditahan menjangkau lapan tahun. Saya pernah bersama mereka di Kemta. Dr Abdullah bekas pensyarah dan Mat Shah Satray, bekas juruteknik di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kedua-duanya terkenal di kalangan orang tahanan sebagai tahanan berakhlak, sopan santun dan tidak membuat masalah pada orang lain juga kepada penguasa kem. Tetapi kenapa mereka ditahan begitu lama?

Inilah kezaliman ISA yang amat sukar fahami kerana ia satu tahanan tanpa bicara. Mereka boleh menahan sesiapa saja yang disyaki, tanpa membawa ke muka pengadilan. Dan mereka boleh menahan mangsa selama mana yang dikehendaki. Bukan atas keselamatan negara, sebaliknya atas prinsip tahanan yang tidak mahu tunduk kepada kezaliman ISA itu.

Sebagai contoh, Dr Abdullah amat tegas apabila berhadapan dengan anggota Cawangan Khas (SB) yang turun memantau tahanan setiap enam bulan sekali. Ia mengambil kesempatan setiap pertemuan itu berhujah dengan SB berdasarkan fakta al-Quran dan hadis. Beliau antara tahanan yang banyak bertukar SB, kerana mereka tak sanggup mendengar apa yang disifatkan sebagai ceramah oleh SB.

Belum insaf

Lalu beliau dianggap tahanan yang masih belum insaf. Begitu juga dengan Mat Shah yang tidak berminat bertemu dengan SB kerana dianggapnya tidak memberi faedah. Dia didera atas sikap itu. Juga dikatakan sebagai satu tindakbalas pihak berkenaan terhadap isterinya, Norlaila Othman yang menjadi aktivis dalam Gerakan Mansuh ISA (GMI).

Ramai beranggapan tahanan ISA akan mendapat sedikit keselesaan pada zaman Abdullah Ahmad Badawi. Bukan sahaja sebagai Menteri Dalam Negeri, dia juga sebagai Perdana Menteri.

Sifat lemah-lembutnya dan juga ilmu agama yang dimilikinya diharapkan keadaan tahanan, khususnya kebajikan keluarga mereka diambil perhatian. Rupa-rupanya keadaan sebalik berlaku, malah lebih teruk daripada era sebelumnya, ketika Dr Mahathir Mohamad berkuasa. Abdullah sudah tentu tahu, dalam Islam antara golongan yang perlu mendapat perlindungan pemerintah adalah wanita dan kanak-kanak di samping lelaki tua.

Dalam satu kes, Abdullah telah mengarahkan tangkapan ke atas isteri tahanan anggota JI iaitu Yazid Syufaat sebagai satu ugutan pada suaminya yang dikatakan tidak mahu bekerjasama dengan SB.

Menangis keseorangan

Isteri muda ini ditangkap di dalam rumahnya di Ampang ketika bersama anak perempuannya yang baru berusia lebih kurang empat tahun. Ketika si ibu dibawa pergi di tengah-tengah malam, anak itu menangis keseorangan tanpa dikasihani oleh anggota polis bertugas.

Anda bayangkan, bagaimana perasaan seorang ibu yang dipaksa keluar meninggalkan anak kecil sedang meraung ketakutan tanpa ditemani sesiapa.

Hampir 60 hari dia ditahan untuk soal siasat oleh Bukit Aman. Setelah dibebaskan, dikenakan pula tahanan daerah selama enam tahun. Suatu sekatan semata-mata untuk menyusahkan pergerakannya mencari nafkah, juga melawat suaminya di Kemta.

Satu peristiwa berdarah dalam Kemta yang masyarakat luar tidak tahu secara meluas berlaku pada 8 Disember 2004. Ia berlaku di blok T2B yang penghuninya seramai 12 orang terdiri dari orang tahanan (OT) anggota JI dari Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Beberapa hari sebelum operasi, anggota UKP dari Kajang, Pulau Pinang dan Taiping telah ditempatkan di Kemta. Dalam kesempatan pertemuan dengan Pangarah Kemta ketika itu, sempat saya mengingatkan beliau jangan bertindak sebarangan terhadap OT tersebut. Bak kata orang, bagai anjing menyalak bukit. Manalah pandangan dan nasihat orang seperti kami nak didengari.

Berkebin sayur

Pagi 8 Disember 2004 itu, kegiatan harian kami seperti biasa. Joging, main badminton dan berkebun sayur. Tanpa disedari lebih kurang jam 9.00 pagi, semua wardar yang bertugas di semua blok (enam blok) diarah meninggalkan semua blok dengan mengurung tahanan tanpa diawasi.

Suatu arahan luar biasa yang dikatakan bercanggah dengan etika penjara. Yakni wardar tidak boleh meninggalkan orang tahanan atau banduan tanpa pengawasan. Inilah ISA, segala-galanya boleh berlaku.

Ringkas cerita di ruangan yang terhad ini, pihak berkenaan telah melakukan provokasi bagi mewujudkan suasana tidak aman antara UKP dan OT di blok T2B. Lebih 100 UKP yang lengkap dengan topeng serta pakaian keselamatan, merempuh masuk menyerang OT.

Dalam insiden itu semua OT dipukul semahunya, hingga ada yang pengsan, patah jari, cedera di kepala, betis dan anggota badan lain. Saya dan rakan-rakan dari blok T3 yang jaraknya kurang dari 100 meter dapat saksikan dari celah-celah lubang zink dinding blok, bagaimana OT yang cedera diusung seperti binatang ke tempat rawatan.

Hampir semuanya dibasahi darah baju warna putih mereka. Sepanjang hari itu mereka tidak mendapat rawatan yang sewajarnya, begitu juga makan dan minum. Mereka dilayan betul-betul macam binatang.

Pada malam baru seorang demi seorang dibawa ke hospital Taiping menerima rawatan selanjutnya. Ada maklumat yang menyebut, doktor yang merawat OT, amat terkejut dengan kecederaan serius yang dihadapi setiap mereka. Hingga mereka mencadangkan OT ambil tindakan mahkamah terhadap pihak terbabit.

Degil

Tak cukup di situ, esoknya operasi berjalan pula di blok-blok lain. Kali ini mereka mencari OT yang dikategori sebagai degil atau selalu menyusahkan pihak kem. UKP yang bersikap ganas masuk ke blok T4A dan T4B mengasari sasaran mereka dengan diseret keluar ke tempat asingan (blok T 1) yang jaraknya hampir 200 meter.

Sepanjang perjalanan itu, mereka dipukul, sepak terajang, maki hamun hingga ada yang mencabar 'Allah turun bantu OT'.

Terdapat juga wardar Kemta yang dendam sangat dengan OT telah ambil kesempatan memaki dan meludah OT yang dibawa melintasi mereka. Paling menyedihkan, terdapat OT yang dikategori sebagai ustaz, dibogel dan dihumban secara kasar ke dalam lokap blok.

Mungkin sukar untuk anda percaya, tetapi itulah yang telah berlaku. Selepas tragedi berdarah itu, kami dan keluarga mulai mendapat layanan buruk daripada pihak Kemta dengan alasan mereka mendapat arahan daripada KDN.

Begitulah sekelumit daripada segunung kezaliman ISA. Kami yang menderitai kezaliman ini diminta mengakui bahawa pemerintah yang ada ini baik, adil, bertanggungjawab dan tahanan kami ini adalah wajar. Jika tidak, kami dianggap tidak insaf, sebagai balasannya kami merengkok dalam kem tahanan tahun demi tahun.

Keadaan ini mengingatkan saya apa yang sering disebut oleh Allahyarham Presiden PAS, Ustaz Fadzil Nor dalam mengulas isu ISA ini. Menurut beliau, "apakah adil pada kamu apabila menangkap orang, diikat kaki tangan, dipukul, disepak, diterajang, dikilas tangan dipijak sampai patah kaki, sumbat mulut lalu ditanya orang itu, sakit atau tidak. Sudah tentulah pelaku-pelaku ini terdiri dari orang-orang yang tidak waras."

Beberapa hari sebelum bebas, saya didatangi oleh salah seorang pegawai kanan Bukit Aman. Dia berpesan pada saya agar memaklumkan kepada pihak tertentu atau NGO yang berusaha menghapuskan ISA, bahawa ISA ini tidak akan dihapuskan walaupun terdapat 1,000 NGO membantah.

Harungi kezaliman

Sehingga ini tak ada mana-mana pihak yang saya maklumkan kecuali pada Saari Sugaib yang menziarahi saya setelah dibebaskan. Sepanjang pengalaman 1893 hari mengharungi kezaliman ISA itu, saya yakin apa yang dkatakan pegawai berkenan benar.

Ini kerana, yang menguasai isu ISA ini, sama ada daripada KDN atau Bukit Aman, terdiri daripada mereka yang hatinya keras tidak lut dengan nasihat agama dan hilang kemanusiaan mereka.

GMI, NGO dan parti politik pembangkang sememangnya tidak mampu untuk menghalang keegoan pemerintah. Hanya kebangkitan rakyat sahaja yang dapat menyelesaikan isu ini. Rakyat yang tidak mempunyai maklumat atau memandang remeh isu ini, tak akan bersuara, apatah lagi ke jalanan membuat bantahan.

Terutama pada saat ini, masih menjadi bualan Perdana Menteri baru membebaskan 13 tahanan sebaik saja menganti Abdullah. Rakyat tentu tak tahu bahawa ini satu sandiwara. Mereka diperjudikan semata-mata untuk kepentingan PM baru, Najib Razak.

Tentu kita masih ingat, tiga minggu selepas Abdullah ambil alih kuasa 15 orang tahanan anggota Al-Maunah telah dibebaskan sehari menjelang Aidilfitri pada November 2003. Desas-desus pembebasan mereka ini telah kami dengar tiga bulan sebelum itu. Namun mereka dikambinghitamkan untuk kepentingan politik Abdullah.

Dua minggu selepas itu, saya didatangi SB dari Bukit Aman. Antara perbualan kami menyentuh isu pembebasan anggota Maunah itu.

Sambut raya

Disebutkan pada saya antaranya: "Cuba hang fikir, apabila mereka balik menjelang raya, bukan saja tangan mereka, tapi tangan isteri, anak-anak dan ahli keluarga masing-masing akan angkat doa berterima kasih pada Abdullah kerana dapat menyambut raya bersama keluarga di rumah. Tentu mereka kata Abdullah baik."

Sandiwara ini berulang lagi pada giliran Najib. Tetapi cacat lakonannya kerana tidak semua anggota Hindraf dan JI dibebaskan. Namun Makkal Sakthi yang ditunjukkan oleh masyarakat India berjaya memberi tekanan hingga semua anggota Hindraf dibebaskan. Tinggal lagi anggota JI dan DI.

Semasa muktamar PAS yang lalu, saya bertemu dengan Norlaila, isteri Mat Shah. Menurutnya ketika itu, seminggu lagi beliau akan ke Geneva atas urusan merayu pihak antarabangsa membebaskan suaminya. Dia yakin suaminya akan dibebaskan penghujung Jun yang lalu.

Itulah antara kezaliman ISA, isteri dan anak-anak diberi janji-janji manis. Akhirnya penantian itu berakhir dengan kehampaan.

Tidak lengkap isu ini tanpa menyentuh keadaan anak isteri sepanjang kami ditahan. Sebaik saja ditahan, rumahtangga menjadi kelam kabut, khususnya isteri menjadi tidak tentu arah. Mana nak melayan kerisauannya, terpaksa pula memujuk hati anak-anak kecil yang merindui ayah mereka, juga kejutan anak-anak remaja yang terpaksa menghadapi masyarakat yang pelbagai ragam.

Cuba bayangkan, bagaimana anak-anak remaja ini, khususnya kami daripada KMM yang dituduh membunuh dan merompak. Media membesarkan tajuk ini dengan menyiarkan gambar-gambar kami selaku penjenayah sepanjang Ogos hingga hujung tahun 2001. Waktu ini ada anak-anak kami menghadapi peperiksaan UPSR ,PMR, SPM, STPM dan di pusat pengajian tinggi.

Mohon cerai

Terdapat dalam beberapa kes di mana isteri terpaksa memohon cerai atas tekanan pihak tertentu. Anak remaja yang meninggal kampung kerana tak selesa tinggal lagi dengan fitnah terhadap ayah mereka. Tak kurang pula anak-anak ini yang terpaksa tangguh pengajian kerana masalah ekonomi dan tekanan perasaan.

Paling menyedihkan apabila pihak berkuasa langsung tidak mempedulikan kebajikan keluarga tahanan. Malah terdapat kes di mana pihak tertentu diarah menghalang individu memberi sumbangan wang pada keluarga tahanan.

Pada awal tangkapan ramai yang simpati hulur sumbangan sama ada ketika datang ziarah atau memasukkan wang dalam akaun bank. Dengan halangan itu, akhirnya tak ada lagi sumbangan individu, kecuali NGO atau saluran politik pembangkang.

Ada juga yang simpati, lalu bantu membawa keluarga tahanan ke Kemta seminggu sekali. Dengan halangan daripada pihak tertentu, akhirnya terpaksa menaiki bas ke Kemta. Lebih menderita jika isteri tinggal jauh. Ada dari Sabah.

Teringat saya pada seorang rakan tahanan yang terkenal dengan kesabarannya. Selalunya, apabila pulang daripada bertemu isteri, wajahnya ceria dengan pelbagai cerita baru yang dibawanya.

Air mata mengalir

Suatu hari dia pulang dengan agak kesedihan. Selepas makan dan solat jemaah Zuhur saya ke biliknya. Dalam berbual air matanya mengalir. Katanya, dia terkenangkan betapa setia isterinya bersusah payah datang menemuinya sewaktu dia baru 10 hari melahirkan anak lelaki. Kerana tahu suami berhajatkan anak lelaki, dia tak sabar-sabar datang membawa anak itu untuk ditunjukkan pada dia.

Tidak ada lagi orang yang mahu menghantarnya, lalu isterinya naik bas dari Banting seawal pagi menuju ke KL. Kemudian ambil bas dari Puduraya ke Kamunting. Makan masa hampir enam jam. Di pintu utama masuk kem, dia terpaksa pula jalan kaki hampir satu kilometer ke tempat pendaftaran pelawat.

Usaha mengumpulkan ratusan ribu rakyat mengadakan protes memansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 ini wajar dipandang serius oleh semua pihak. Masih banyak lagi babak-babak kezaliman di sebalik tabir ISA.

Memang benar jumlah tahanan sekarang kurang 10 orang, tetapi amaran daripada Menteri Dalam Negeri baru-baru ini kepada pihak tertentu, membayangkan Kemta bakal dipenuhi penghuni lagi.

Seperti dikatakan, tidak ada kuasa yang boleh menyelesaikan isu ini melainkan kuasa rakyat. Kita lakukan ini bukan untuk kita, tetapi buat generasi akan datang. Bukan sahaja ISA bercanggah dengan ajaran agama, penahanan tanpa bicara ini bercanggah juga dengan fikrah dan hak asasi manusia.

Bekas tahanan seperti saya dan rakan-rakan lain masih lagi dibimbangi dengan pantauan seolah ugutan.

Kehidupan harian kami tidak selesa seperti dulu, terutama perbualan telefon kami dirakam. Ada yang dipaksa memaklumkan pada Bukit Aman jika menerima panggilan dari luar negara. Tak kurang pula yang ditahan pasport oleh KDN juga sukar membuka akaun bank.

Ramai antara kami yang keluar terpaksa terkapai-kapai mencari nafkah hidup. Pekerjaan dulunya telah hilang. Yang terlibat dalam perniagaan, terbantut bisnes. Saya umpamanya, terpaksa menanggung hutang hampir RM200,000 akibat projek ternakan ayam yang tersadai sebaik ditahan lebih lima tahun.

Bukan senang bagi saya untuk mengumpul wang dengan jumlah sebegitu banyak dalam usia separuh abad ini.

Apa yang dialami oleh mangsa ISA, terutama mereka yang lebih daripada tiga tahun dalam tahanan, gelora hidup keluarga mereka seharusnya mengamit simpati daripada kita.

Bebas suami tercinta

Bayangkan Norlaila sanggup pergi ke Geneva semata-mata dengan hasrat membebaskan suami tercinta, juga menyatakan kezaliman ISA di mata dunia, mengapa kita tidak sanggup beberapa jam sahaja menyambut seruan pihak tertentu untuk memberi sokongan dalam usaha menghapuskan ISA.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengingatkan pihak berkenaan bahawa tiap helai bulu roma, setitik peluh dan air mata yang gugur atau keluar dari tubuh tahanan tanpa bicara ini, maka akan dipertanggungjawab hadapan Allah kelak.

Justeru, sedikit masa dan keringat kita semasa perhimpunan itu tentunya akan dipetanggungjawab juga hadapan Allah kelak. Bukan sahaja memberi sokongan kepada kegigihan Norlaila serta keluarga Dr Abdullah, lebih jauh daripada itu adalah kita bersama-sama dengan golongan yang menentang kezaliman.

Dalam satu himpunan, satu langkah, satu hasrat dan satu suara rakyat Malaysia: HAPUSKAN ISA! _

Selasa, 14 Julai 2009

PAS Menang Tipis di Manek Urai

Pilihanraya kecil N41 telah berlalu. Keputusan sudah pasti.
PAS menang dengan 65 undi. Undi rosak sekitar 170.

PAS menang. Itu hakikat.
Tapi, dulu PAS menang dengan majoriti 1200, kini hanya tinggal 65.
Peratusan keluar mengundi sangat tinggi, 87.2%, dari sekitar 12000 pengundi yang berdaftar untuk kawasan ini.

Apa yang boleh dianalisa dari keputusan ini.

Dari pihak PAS, tidak lain tidak bukan mereka lega, kerusi itu dikekalkan mereka. Walau majoriti nyawa2 ikan. Menang tetap menang begitulah. Tapi apa sudah jadi? Sokongan berkurang. Apa alasan PAS atau sebab sebenarnya?
Ada jawapan awal berkata, pengundian hari bekerja. Tapi ini dah tidak boleh dijadikan alasan. Kelantan cuti peristiwa, diumukan oleh MB Nik Aziz sendiri.
Alasan pengundi hantu? peti undi ditukar? Undi pos? Ini biasa didengari. Jika ini benar, ternyata Allah taala masih mengizinkan negeri Kelantan diperintah parti Islam ini.

Mari kita buat sedikit matematik.
12000 x 87.5% = 10500
dulu, PAS menang 1200, kita andaikan jumlah pengundi keluar sama, undi rosak juga sama
10500 - 200 (anggaran) = 10300, jadi agihan undi PAS BN,
PAS = 5750, BN = 4550 lebih kurang
sekarang, dengan hanya 65, PAS 5183 dan BN = 5119
Jadi, undi PAS menurun 570 undi, undi BN naik sekitar itu juga, 570.
Spekulasi yang saya dapat buat, ada sekitar 1200 orang pengundi atas pagar di Manek Urai. Dan andai dulu PAS menjadi pilihan mutlak mereka(1200 ini), tapi kini telah terbahagi 2. Begitulah.
Mungkin pancing2 BN menjadi. Jambatan? Agropolitan? Sangat mungkin.

Pihak BN pula pasti lega juga, pengundi mereka meningkat. 1 Malaysia mendapat sambutan? Rakyat sudah mula menolak PR? Atau PAS? Atau Nik Aziz? Canang2 di media perdana menyebut kemajuan dalam BN dari keputusan ini. OK lah. Result telah pun bersuara. Segala seribu satu analisa boleh dispekulasikan.

Dari sudut proses pengundian pula, SPR masih dibelenggu masalah terpaksa menurut kehendak KERAJAAN. Jadi, hal-hal biasa, kedengaran seperti selalunya. Tiada kejutan. Masalah bangsal panas pula makin panas. Apakah relevannya? Peraih undi relevankah? Atau perlu dimansuhkan?

Tidak lain, 2 isu ini berkait dengan insiden. 2 Puteri UMNO masuk hospital. Kena baling batu. 1 patah gigi. 1 sakit pinggang. Ironiknya, kedua2 UMNO ini dari Perak. Justeru, nampaknya peraih undi masih menjadi elemen penting pengundian, tidak dapat dinafikan. Atau, BN bergantung pada peraih undi, PAS tak kisah? Tidak adil untuk kita menilai hal ini sesuka hati.

Oh, cerita Puteri UMNO disiar berita. Bagaimana pula 5 orang penyokong PAS cedera? Tidak kedengaran walau hakikatnya, ia berlaku, ia wujud. So, ternyata kedua2 pihak bermain ganas. Jadi, salah siapa? Pada pendapat saya, ia individu. Bukan masalah parti. Tiada parti yang sengaja mengajar, menyeru penyokong mereka berbuat ini. Ia hanya personaliti manusia yang berbeza, ada yang relax, ada yang baran, ada yang memang batu api sebagainya. So, harap jangan ada mana2 parti yang nak kata mengata tentang keganasan yang dlakukan individu, sebagai keganasan parti.

Provokasi dingiang2kan oleh TPM dalam berita. Dan mendakwa tiada ahli BN yang provok. Itu bohong terang2an, cubaan untuk memperbodohkan orang awam. Semua tahu, kedua2 pihak melakukan provok. Pastinya PENYOKONG pas mengutuk Najib(MOngolia dll), dan tidak lari penyokong bn mengutuk Nik AZiz(extreme?) dll lagi.

Begitulah politik.

kEISTIMEWAAN BULAN REJAB

Sama samalah kita ingat mengingati amalan- amalan mulia yang penuh berkat ini……….
BULAN REJAB

Pada 24 Jun 2009 (Rabu) kita memasuki bulan Rejab. Bulan Rejab adalah bulan Allah swt.
Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw telah bersabda, “Ketahuilah bahwa bln Rejab itu adalah bulan ALLAH swt, maka:”

1. Barang siapa yang berpuasa 1 hari dalam bulan ini dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH swt

2. Dan barang siapa berpuasa pada tanggal 27 Rejab /Isra Mi’raj (Isnin, 20 Julai 2009) akan mendapat pahala seperti 5 tahun berpuasa

3. Barang siapa yang berpuasa 2 hari di bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH swt

4. Barang siapa yang berpuasa 3 hari yaitu pada tanggal 1, 2, dan 3 Rejab (24, 25, 26 Jun 2009) maka ALLAH swt akan memberikan pahala seperti 900 tahun berpuasa dan menyelamatkannya dari bahaya dunia dan seksa akhirat

5. Barang siapa berpuasa 5 hari dalam bulan ini, insyaallah permintaannya akan dimakbulkan Allah swt..InsyaAllah

6. Barang siapa berpuasa 7 hari dalam bulan ini, maka ditutupkan 7 pintu neraka Jahanam dan barang siapa berpuasa delapan hari maka akan dibukakan 8 pintu syurga

7. Barang siapa berpuasa 15 hari dalam bulan ini, maka ALLAH swt akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barang siapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH swt akan menambahkan pahalanya.”

Sabda Rasulullah saw lagi :”Pada malam Mi’raj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari air batu dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya pada Jibril as “Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?”

Maka berkata Jibrilb as “Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab i ni.”

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita :”Ketika kami berjalan bersama-sama Rasulullah saw ke sebuah kubur, lalu Rasulullah saw berhenti dan beliau menangis dengan amat sedih, kemudian beliau berdoa kepada ALLAH swt. Lalu saya bertanya kepada beliau “Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis?” Lalu beliau bersabda “Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kuburnya dan saya berdoa kepada ALLAH swt, lalu ALLAH swt meringankan atas mereka.”

Sabda beliau lagi “Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari dan beribadah satu malam saja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan disiksa di dalam kubur.” Tsauban bertanya “Ya Rasulullah, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah dapat mengelakkan dari seksa kubur?”

Sabda beliau “Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat karena ALLAH swt, kecuali ALLAH swt mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun.”

Sabtu, 11 Julai 2009

Debat di Pulau Pinang

Lebih kurang seminggu kebelakangan ini kita selalu dengar perkataan debat.
Tawaran debat mursyidul Am PAS dengan presiden UMNO adalah yang terutamanya. Tajuk yang ingin dihurai adalah tentang hala tuju parti, Islam atau sesat. Lebih kurang sekitar isu itulah. Dan Najib awal-awal tidak mahu, belum pun lagi surat rasmi tawaran dihantar. Jadi, bila surat dihantar, tiada balasan. Nik Aziz kata tidak mahu fikir negatif, tapi mungkinkah UMNO takut? Ataupun, Nik Aziz yang tak reti bahasa sebab Najib dah sound awal-awal dia tak nak. Pada aku, kenapa tak nak??
Seterusnya, hari ini aku dengar ada debat di Pulau Pinang. Antara AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa, dengan ketua Pemua UMNO, Khairy Jamaludin. Tup tup, KJ tak datang, MC pun tak datang. Apa yang menghalang kedatangan mereka? Takutkah Khairy? Atau kita patut melihatnya sebagai TAKDIR Tuhan yang tidak mahukan debat ini berlangsung diantara individu tersebut. Entahlah. Pengerusi Biro Agama, Pergerakan Pemuda Umno Malaysia,Afendi Yusuf yang mengganti KJ. Apa pun, ini cukup menghairankan kerana debat kali ini anjuran UMNO.

Nik Aziz offer, Najib tak nak. OK.
UMNO offer, PAS dah setuju, hantar wakil, KJ pulak yang tak datang. Apekejadahnya perangai macam tu. Orang menyifatkan perangai sebegini sebagai takut dengan cerita seram rekaan sendiri. Macam, satu malam, si A ceritakan cerita hantu kat kanak-kanak, tup tup si A yang tak dapat tidur malam tu kerana terbayang-bayang fantasi cerita seramnya....

Di Kelantan pula, menjelang pilihanraya Manek Urai, debat tentang hak kerajaan Kelantan terhadap royalti minyak. Pada aku, ini pun perlu lah dijelaskan sebetul2nya.... Dan secara logiknya, perairan Kelantan tu memang banyak minyak, sebanyak Terengganu. Dah terbukti pulak, ada pelantar di situ. Apa lagi cara untuk menutup hakikat ini?